Evanatie Sannie Puji Strategi Pemasaran Jersi Sabah
MakanBola
Azri Haziq / MakanBola

Gadis Sumandak, Evanatie Sannie menzahirkan rasa teruja melihat penerimaan peminat bola sepak tempatan terhadap video pelancaran jersi Away Sabah FC untuk musim 2023.

Beliau yang muncul sebagai gadis di dalam video tersebut memuji idea serta strategi pemasaran pasukan Sabah untuk musim ini. Finalis Unduk Ngadau 2022 ini turut bangga dengan kemajuan Sabah FC baik dari segi pengurusan, pemain mahupun penyokong.

“Jadi saya rasa Sabah FC punya strategi pemasaran tahun ini sangat bagus kerana mereka menggunakan orang lokal (Sabah). Saya sangat gembira dengan kemajuan Sabah FC.”

Mengulas lanjut berkaitan konsep pembikinan video, Evanatie menjelaskan bahawa beliau amat terharu menjadi sebahagian daripada pelengkap video tersebut. Banyak respon positif diterima sebaik sahaja selepas video tersebut dilancarkan.

“Selepas video tersebut terbit, saya digelar Sumandak. Saya gembira kerana hanya sebab jersi Sabah FC, orang luar tahu bahawa Sumandak Sabah ini bukan alang-alang. Kini rata-rata yang hadir ke stadium ini pun banyak Sumandak Sabah kan,” ujar Evanatie ketika ditemui MakanBola.

Ditanya mengenai peningkatan kehadiran para wanita ke stadium, Evanatie akui beliau gembira melihat perkembangan semasa yang mana ramai dalam kalangan wanita dan juga kanak-kanak hari ini turut hadir memeriahkan stadium setiap kali adanya perlawanan bola sepak.

“Saya sangat suka kerana zaman sekarang tidak kira jantina, diorang tetap akan minat bola. Sedangkan kanak-kanak juga hadir ke stadium kerana semangat mahu menonton bola sepak. Jadi saya rasa macam satu kemajuan dari rakyat Sabah, mereka sokong pasukan. Saya rasa itu kemajuan positif yang bagus untuk Sabah,” kata Evanatie.

Untuk rekod, pada musim 2022, Sabah FC berjaya merekodkan seramai 180,000 ribu jumlah penonton hadir ke stadium. Yang lebih menariknya, 70,000 ribu daripada jumlah penonton itu datangnya daripada penyokong-penyokong wanita.

Jersi Away serba indah yang diberi gelaran ‘Sumandak’ itu dipadankan dengan warna putih merah sebagai tanda tribute buat ‘Sumandak-Sumandak Sabah’ yang hadir membanjiri Stadium Likas sejak musim lepas.