Barisan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka berhimpun di sebuah hotel terkemuka di pinggir ibu negara hari ini.
Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan kesemua Exco FAM berbuat demikian kerana membincangkan dua agenda berhubung badan induk itu.
Dua agenda yang dijangka menjadi tumpuan mereka ialah peletakan jawatan beramai-ramai Exco dan memujuk sesetengah ahli yang masih enggan berbuat demikian.
“Petang Khamis bakal menghimpunkan barisan Exco FAM di sebuah hotel terkemuka pinggir kota,” katanya di X.
“Samada penerangan terperinci untuk memujuk dua tiga wakil yang masih berkeras pertahan jawatan atau tindakan drastik perletakan jawatan semua Exco bakal berlaku, ia kini dalam perbincangan utama bagi agenda hari ini.”
Ini dilihat berkait dengan khabar angin badan induk itu bakal ditadbir secara sementara oleh FIFA atau AFC sehingga keadaan pulih sepenuhnya.
Jawatankuasa Normalisasi itu dilaporkan akan mengenal pasti dan memperbaiki semua kelemahan yang dibangkitkan dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dan Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Peletakan jawatan beramai-ramai Exco FAM dijangka membuka jalan kepada pembentukan Jawatankuasa Normalisasi yang dinyatakan.