Nasib berbeza bakal diharungi oleh dua pemain warisan Harimau Malaya, Facundo Garces dan juga Rodrigo Holgado.
Garces kini kembali menjalani latihan bersama kelabnya di LaLiga, Deportivo Alaves sejak 27 Januari 2026, kira-kira lima bulan selepas penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pertahanan tinggi lampai kelahiran Santa Fe, Argentina ini dibawa oleh pasukan ke Barcelona bagi aksi menentang Espanyol dan masuk selaku pemain gantian pada minit ke-46.
Beliau juga sebelum ini telah mengungkapkan rasa rindunya untuk kembali aktif bermain bola sepak setelah tidak boleh terlibat sepanjang proses FIFA selesai.
Namun begitu, nasib berbeza dialami oleh pertahanan warisan Sepanyol, Gabriel Palmero yang kini masih belum memiliki kelab untuk beraksi.
Pemain berusia 23 tahun itu telah dilepaskan oleh kelabnya, CD Tenerife di Sepanyol sudah hampir tiga bulan.
“Gabriel Palmero telah ditamatkan kontrak pada 7 November, melibatkan kedua-duanya sekali iaitu perpindahan pinjaman ke Unionistas de Salamanca CF dan ikatan asalnya bersama CD Tenerife,” umum kelab itu dalam satu kenyataan.
Khabar angin mula timbul mengaitkan beliau untuk beraksi di Liga Malaysia selepas komen yang dibuat oleh ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak.
Beliau memberi bayangan bahawa akan ada pemain Malaysia yang beraksi di luar negara bakal memperkuat The Cats untuk hadapi baki aksi liga.
“Mungkin akan ada seorang lagi pemain tempatan, tetapi ini bergantung kepada bajet kelab.
“Apa yang boleh saya katakan pemain itu merupakan pemain tempatan yang kini beraksi di luar negara,” ujar Aidil Sharin pada 16 Januari lalu.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung perpindahan Palmero ke Kuching City oleh pihak kelab mahupun pemain sendiri.