Facundo Garces Cedera ACL
MakanBola
Deportivo Alaves

Bek tengah yang pernah menyarung jersi Malaysia, Facundo Garces ditimpa malang apabila mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) baru-baru ini.

Perkara ini disahkan kelab beliau, Deportivo Alaves menerusi satu kenyataan ringkas di semua platform rasmi pasukan itu. Garces dijadualkan bakal menjalani pembedahan dalam beberapa hari seterusnya.

“Bek tengah Argentina mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior pada lutut kanannya dan dijangka menjalani pembedahan dalam beberapa hari seterusnya. Semoga cepat sembuh, Facu!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Berita ini dilihat satu tamparan hebat buat Garces tatkala beliau menjalani baki penggantungan yang diputuskan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Mac lalu.

Meskipun tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi, bek tengah berusia 27 tahun itu boleh melakukan aktiviti bola sepak lain seperti menjalani latihan dan beraksi dalam perlawanan persahabatan tidak rasmi.

Garces dan enam lagi pemain negara dijangka dibenarkan kembali beraksi pada November ini. Kecederaan ini bakal memaksa Garces melupakan sebahagian besar musim 2026/27.

Berita ini dijangka memaksa jurulatih Alaves, Quique Sanchez Flores mencari beberapa pemain baharu dalam tetingkap perpindahan Januari. Selain Garces, rakan sepasukan, Mikel Rodriguez juga bernasib malang kerana mengalami kecederaan sama.

Alaves sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan membabitkan bek tengah Granada, Manu Lama dan bek tengah Argentina, Kevin Lomonaco. Meskipun begitu, Lomonaco telah menyertai Elche pada musim panas lalu.