Pemain sayap lincah pasukan Selangor FC, Faisal Halim membuka mulut mengenai masa depannya bersama pasukan tersebut tatkala saingan menuju ke akhir musim.
Bintang berusia 25 tahun itu menjadi watak penting buat The Red Giants dan Malaysia pada musim ini apabila membantu Selangor layak ke pentas Asia pada tahun hadapan.
Beliau juga merupakan sandaran utama di bawah kendalian Kim Pan-gon ketika memacu Harimau Malaya meraih dua kemenangan berdepan Kyrgyzstan dan Chinese Taipei dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Masa depan beliau bersama Selangor mula menjadi tanda tanya dengan kudratnya sudah pasti penting buat pasukan melangkah ke kejohanan berprestij tersebut.
Faisal sempat memberi bayangan ketika ditanya oleh seorang penyokong tentang masa depannya bersama skuad Lembah Klang itu.
Beliau sempat memberi jawapan spontan dan menyerahkan segala keputusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal.
“Saya atas bos (Dr. Johan),” ujarnya sambil menunjukkan ke arah Dr. Johan yang berjalan seiringan.
Sebelum ini, Dr. Johan sudah memaklumkan keinginan kelab untuk mengekalkan khidmat pemain yang mesra disapa Mickey ini selama mungkin bersama Selangor.
Beliau juga memberitahu bahawa perbincangan mengenai lanjutan kontrak anak jati Penang itu bakal diadakan sekaligus menunjukkan keinginan kelab untuk mengekalkan pemain terbaik ini untuk jangka masa yang lebih lama.
Selangor bakal menjadi wakil Malaysia di Asia apabila sah ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sementara JDT akan beraksi di ACLE musim 24/25.
Pautan penuh: Masa Depan Faisal Halim