Faisal Halim Sedia Gugat Perancangan Tan Cheng Hoe
Dunia
Foto Facebook / Terengganu FC
Advertisements

Kelibat pemain sayap pasukan Terengganu FC, Mohd Faisal Halim kembali menjadi tumpuan penyokong setelah memperagakan aksi yang cukup meyakinkan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum bersambungnya aksi Liga Super pada minggu hadapan.

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini cemerlang membantu pasukan kendalian Nafuzi Zain untuk mencatat kemenangan besar 4-0 ketika menentang pasukan Kelantan United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.

Faisal menjadi watak penting dalam kemenjadian barisan serangan pasukan Terengganu apabila gerakan lincah dan juga larian derasnya berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan pasukan lawan. Hasilnya, pemain bertubuh kecil ini berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol kedua pasukan pada minit ke-26.

Advertisements

Pemain berusia 23 tahun ini juga cemerlang pada siri perlawanan persahabatan sebelumnya ketika menentang pasukan PDRM apabila Terengganu berjaya mencatat kemenangan selesa 3-0. Faisal sekali lagi membuktikan bahawa dirinya layak diangkat sebagai salah seorang pemain sayap terbaik apabila berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut.

Gerakan bekas pemain Sri Pahang ini jelas menjadi mimpi buruk kepada pasukan lawan apabila beliau bijak memanfaatkan kelompongan yang tidak ditutup dengan rapi oleh barisan pertahanan pasukan lawan menerusi gerakan solonya menggelecek serta kebolehan larian “off the ball” yang sangat baik untuk memberi peluang kepada rakan sepasukan menerima bola dan seterusnya menjaringkan gol.

Peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain yang mesra disapa Micky ini jelas terpapar apabila beliau hanya menjaringkan 2 gol sepanjang 13 aksi Liga Super berlangsung sebelum ianya dihentikan buat seketika. Namun begitu, Faisal dilihat semakin tajam dengan setiap cubaan malah menunjukkan keyakinan yang tinggi setiap kali diberikan kepercayaan oleh jurulatihnya bagi mengetuai jentera serangan pasukan Terengganu. Ini juga dibuktikan apabila beliau sudah pun menjaringkan 2 gol dalam 2 perlawanan beliau diturunkan sebagai pemain utama.

Advertisements

Situasi ini bakal menyukarkan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk membuat pemilihan pada siri kejohanan berikutnya apabila kebanyakan pemain yang tidak dipanggil sedang memperagakan aksi yang sangat memberangsangkan untuk membuktikan bahawa mereka juga layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram