Peguam sukan, Zhafri Aminurrashid memuji sikap keterbukaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menganggap Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Hj Rahman kekal mengikut Statut FAM.
Hal ini selepas terdapat komentar yang dibuat oleh bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad yang mempersoalkan keputusan yg dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM.
Ini selepas mereka memberikan mandat kepada Bendahari dan Setiausaha Agung FAM untuk meneruskan tugas bagi memastikan perjalanan operasi harian FAM tidak terganggu selepas peletakan jawatan kesemua exco FAM.
“Jika dirujuk kepada Status FAM iaitu Artikel 38 (8) yang jelas menyatakan bahawa jika lebih daripada 50 peratus jawatan Jawatankuasa Eksekutif menjadi kosong, Setiausaha Agung hendaklah mengadakan Kongres Luar Biasa dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Oleh sebab itu, jawatan Setiausaha Agung perlu dikekalkan bagi memastikan peraturan Statut dapat dipatuhi sepenuhnya di dalam usaha FAM memulihkan imejnya,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa Jawatankuasa Tatatertib FAM juga telah memutuskan Setiausaha Agung FAM tidak bersalah dalam saga pendaftaran pemain-pemain warisan sebelum ini.
“Kenyataan beliau yang mengatakan di asia tenggara ini pertama kali sesebuah persatuan dipantau atau dibimbing oleh AFC nyata tidak tepat dan mengelirukan.
“AFC secara konsisten menjalankan program pemantauan, audit dan bimbingan teknikal terhadap banyak persatuan kebangsaan di Asia melalui pelbagai inisiatif seperti AFC Development Program, AFC Licensing, AFC Governance Reforms dan penilaian berkala berkaitan tadbir urus serta pembangunan bola sepak.
Contoh terdekat adalah seperti yang pernah berlaku di Indonesia dan Brunei,” tambahnya lagi.
Zhafri juga menganggap bahawa proses yang berlaku ini tidak pelik namun sebahagian daripada proses untuk menambah baik FAM.
“Ia sebahagian daripada ekosistem bola sepak moden yang menekankan penambahbaikan berterusan, penjajaran standard antarabangsa serta peningkatan kapasiti organisasi.
“Banyak persatuan di Asia termasuk negara ASEAN pernah melalui sesi audit, penilaian struktur, atau bimbingan teknikal oleh AFC dalam pelbagai bentuk.
“Menggambarkan kehadiran AFC sebagai tamparan hebat atau sesuatu yang memalukan adalah tidak berasas.
“Ia menunjukkan keterbukaan FAM terhadap proses penambahbaikan, kesediaan menerima pandangan bebas dan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus serta operasi mengikut piawaian global,” katanya menerusi satu hantaran media sosial.
Beliau juga meminta agar peminat sukan tanah air memberikan masa secukupnya untuk FAM dan AFC melaksanakan tanggungjawab yang dipertuntukan kepadanya.