FAM Nafi Gagal Bentang Audit Kewangan Sejak 2016
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan gagal membentangkan audit kewangan tahunan kepada Kongres FAM sejak 2016.

Kenyataan media itu dibuat susulan laporan audit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa (EGM) FAM baru-baru ini.

Antara tohmahan yang berlegar di luar sana terutama di media sosial ialah FAM didakwa melanggar peraturan statutori sendiri dengan tidak membentangkan audit kewangan tahunan mereka sejak 2016.

Lantaran itu, FAM dengant tegas menafikan sekeras-kerasnya tohmahan berkenaan. Ini kerana badan induk itu sentiasa membentangkan laporan kewangan tahunan yang telah diaudit dalam setiap kongres tahunan mereka.

“FAM sentiasa membentangkan Laporan Kewangan yang Diaudit dalam setiap Kongres Tahunan, termasuk yang terbaharu iaitu Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 yang telah dibentangkan pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026, Khamis lalu selaras dengan peruntukan Statut FAM,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

Selain itu, setiap laporan kewangan tahunan wajib melalui proses semakan dan kelulusan di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM. Setelah itu, barulah setiap laporan berkenaan dibawa ke Kongres Tahunan untuk kelulusan muktamad.

FAM turut menegaskan status kewangan badan induk itu sentiasa diaudit secara tahunan bukan saja oleh juruaudit bertauliah tempatan. Malah, ia turut diaudit oleh juruaudit Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ini merupakan syarat wajib memandangkan FAM menerima peruntukan dana daripada kedua-dua badan induk dunia dan Asia tersebut.

Sebaik laporan kewangan yang dibentangkan mendapat kelulusan kongres, laporan kewangan tersebut akan dihantar secara rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) melalui sistem MyKBS bagi mendapatkan kelulusan.

FAM turut menjelaskan su berkaitan pembentangan bajet tahunan bagi tempoh 2020 hingga 2025. Tahun 2020 hingga 2022 menyaksikan bajet tahunan tidak dibentangkan dalam kongres kerana tiada peruntukan dalam Statut FAM.

Meskipun begitu, bajet tersebut tetap dibentang, disemak, dan disahkan secara telus di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk kelulusan.

Selaras dengan cadangan FIFA agar bajet tahunan dibentangkan dalam kongres, FAM telah meminda statutnya pada tahun 2023 bagi menambah baik tadbir urus kewangan.

Walau bagaimanapun, FAM mengakui wujud kekhilafan dalam pelaksanaan pembentangan bajet tahunan berkenaan bagi tahun 2023, 2024 dan 2025.

Atas sebab itu, badan induk bola sepak negara itu memandang serius isu berkenaan. FAM juga komited untuk memastikan proses tadbir urus pembentangan bajet kembali teratur mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Claim Money Packet TnG