FAM Sahkan Posisi Ketua Jurulatih Malaysia Jadi Rebutan
MakanBola
Aima/MakanBola

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan posisi selaku ketua jurulatih Harimau Malaya kini menjadi rebutan beberapa nama.

Jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan kini dipegang oleh Pau Marti yang mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh Kim Pan-gon sejak Julai yang lalu.

Di bawah bimbingan Pau Marti, skuad negara telah meraih gelaran juara di kejohanan Pestabola Merdeka yang lalu setelah menewaskan Lubnan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, ramai calon yang berminat untuk memegang jawatan ketua jurulatih Malaysia kerana melihat potensi besar yang dimiliki skuad negara.

”Banyak sebenarnya yang berminat untuk menjadi jurulatih Malaysia kerana mereka melihat Malaysia mampu bersaing di peringkat (lebih tinggi),” ujar beliau kepada Harimau Malaya.

Walau bagaimanapun, pihak FAM akan menilai semula calon yang berminat bagi memastikan individu yang memegang tugas ini memahami budaya bola sepak Malaysia khususnya.

”Jadi banyak jurulatih-jurulatih berminat tetapi akhirnya kita akan pilih yang sesuai dengan kita, contoh jurulatih yang faham dengan budaya kita seperti sebelum ini,” tambah beliau lagi.

”Nama-nama besar yang tak faham masalah yang berlaku kat dalam pun akan menimbulkan masalah yang lain dan atas faktor ini, Pau Marti pada saya ada kelebihan sebab dia dah faham.”

Datuk Wira Yusoff turut memaklumkan daripada senarai panjang calon jurulatih yang menyatakan minat ini, hampir kesemuanya berasak dari luar negara.

”Ya, kebanyakan (calon jurulatih) daripada luar dan panjang juga senarai (nama calon jurulatih) ini tapi saya cakap ada dalam tiga hingga empat orang yang berminat,” kata beliau.

Sebelum ini, Presiden FAM mengakui bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo antara nama besar yang berada dalam radar badan bola sepak negara itu untuk memimpin skuad kebangsaan.