FAM Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa Insiden Petir
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pemain yang meninggal dunia akibat disambar petir ketika perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC pada 5 Julai lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menzahirkan ucapan takziah menerusi satu kenyataan pada Isnin. Beliau turut memaklumkan badan induk itu memandang serius kejadian yang berlaku di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu, Melaka itu.

Atas sebab itu, Noor Azman meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan demi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau juga melihat insiden ini sebagai peringatan buat komuniti bola sepak bahawa aspek keselamatan harus menjadi keutamaan.

“Sehubungan itu, FAM menyeru semua persatuan bola sepak negeri, kelab, akademi serta mana-mana penganjur perlawanan supaya sentiasa memantau keadaan cuaca sebelum dan semasa perlawanan berlangsung.

“FAM juga menggalakkan semua penganjur mempertimbangkan penggunaan Sistem Pengesan Kilat (Lightning Detection System) di venue pertandingan. Sistem ini mampu mengesan aktiviti kilat secara masa nyata dan memberikan amaran awal kepada pegawai pertandingan untuk membuat keputusan berkaitan keselamatan.

“Penggunaannya telah menjadi amalan dalam pelbagai kejohanan serta liga profesional sebagai sebahagian daripada prosedur pengurusan risiko,” katanya.

Noor Azman turut menegaskan keputusan menangguhkan atau menghentikan perlawanan atas faktor keselamatan bukanlah satu kelemahan dalam pengurusan pertandingan.

Ini kerana beliau melihat tindakan tersebut sebagai tindakan yang bertanggungjawab kerana tiada perlawanan yang lebih penting daripada nyawa dan keselamatan semua yang berada di venue perlawanan.

FAM kini menunggu laporan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) dan pihak penganjur bagi meneliti kronologi kejadian
dan tindakan yang telah diambil.

Ini kerana ini membolehkan badan induk itu mmengenal pasti ruang penambahbaikan dalam aspek pengurusan keselamatan perlawanan.