Advertisement
FAM Yakin Pemain Takkan Benarkan Maruah Harimau Malaya Dipijak
Dunia
MakanBola
Football Association of Malaysia

Malaysia mungkin tidak membawa skuad utama ke Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan bermula pada Rabu, tetapi pemain yang mengalas cabaran tidak akan sesekali membenarkan maruah negara dipijak.

Keyakinan itu disuarakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman.

Menurut beliau dari pemerhatian sepanjang kem latihan dan dua kemenangan meyakinkan dilakar masing-masing ke atas Kemboja dan Maldives dalam aksi persahabatan, Harimau Malaya ada potensi melangkah jauh.

“Semangat pemain memang lain macam, membuatkan saya percaya mereka akan bermain bermati-matian demi maruah negara. Mereka ada keinginan tinggi membawa skuad negara melangkah jauh dan kita di FAM sendiri yakin dengan skuad kali ini dan barisan kejurulatihan di bawah Kim Pan-gon,” ujar Noor Azman.

Harimau Malaya telah memulakan latihan sejak 29 November sebelum mencatat kemenangan 4-0 ke atas Kemboja, disusuli 3-0 ke atas Maldives.

Skuad negara telahpun terbang ke Yangon pada pagi Isnin, untuk aksi pembukaan Kumpulan B pada Rabu menentang Myanmar dan tiga hari kemudian akan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebagai rekod, dalam edisi 2020 yang berlangsung tahun lalu, Malaysia di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe gagal melepasi halangan kumpulan apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan B.

Manakala dua tahun sebelumnya Harimau Malaya berjaya mara sehingga ke final sebelum tewas kepada Vietnam. Pencapaian terbaik skuad negara adalah muncul juara pada edisi 2010 dengan menewaskan Indonesia.