Pengerusi Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Pelantikan beliau diumumkan pengurusan The Cats menerusi satu kenyataan di platform rasmi pasukan itu.
“Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Kuching City FC, YB Dato Fazzrudin Abdul Rahman atas pelantikan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang baharu.
“Semoga kepimpinan YB Dato akan membawa sinar baharu dan kemajuan berterusan kepada arena bolasepak Sarawak,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Fazzrudin terpilih sebagai Presiden FAS selepas satu-satunya pencabar beliau, Dr Mohd Shafiq Abdullah menarik diri daripada bertanding dalam Mesyuarat Agung FAS yang berlangsung hari ini.
Datuk Hamzah Brahim pula dilantik sebagai Timbalan Presiden FAS. Ini selepas penyandang, Abang Suhordie Abang Zaini juga menarik diri daripada bertanding.
Barisan Naib Presiden FAS yang baharu pula terdiri daripada Sophie Shariee, Khairulddin Qalam Daud, Khairul Anuar Aden, Mohd Haical Abdullah dan Nicol Agoi.
Keputusan pemilihan diumumkan oleh bekas Presiden FAS, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman. Pelantikan jawatan lain seperti setiausaha dan bendahari bakal diputuskan Fazzrudin kemudian.