Pertahanan kebal Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin mengucapkan selamat tinggal buat musim 2024/2025 lebih awal.
Feroz adalah antara tonggak penting di barisan pertahanan skuad Harimau Selatan musim ini apabila merekodkan 23 penampilan dalam kesemua kejohanan dan menjaringkan 4 gol.
Malah, prestasi cemerlang Feroz turut berjaya menarik minat bekas pengendali kebangsaan, Pau Marti untuk memanggil beliau memperkuat benteng skuad Harimau Malaya sebelum ini.
Kehadiran Feroz bersama pasukan Harimau Malaya berjaya membantu Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka 2024 pada September lalu apabila menewaskan Lubnan di pentas final.
Walau bagaimanapun, menerusi hantaran pada lewat malam Khamis menyaksikan Feroz telah memberikan ucapan terima kasih buat musim 2024/2025 sekaligus menimbulkan tanda tanya.
Hantaran di laman Instagram tersebut juga seakan memberi bayangan bahawa Feroz telah mengalami kecederaan yang serius dan memaksa bek tengah JDT itu berehat agak lama.
”Terima kasih 2024/2025, akan bangkit lebih kuat selepas ini,” tulis Feroz Baharudin di laman Instagram.
Tinjauan di ruangan komen menyaksikan ramai rakan pemain bola seperti Bergson Da Silva, Arif Aiman, Syamer Kutty dan Adib Raop yang mendoakan kesembuhan segera buat Feroz.
Dengan ketiadaan Feroz ini, Hector Bidoglio masih memiliki beberapa pilihan di barisan pertahanan seperti Jordi Amat, Eddy Israfilov, Park Jun-heong, Shane Lowry dan Shahrul Saad.
Selepas ini, JDT bakal menanti kunjungan jaguh dari Borneo, Sabah dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu dengan sepak mula perlawanan jam 8.15 malam