13 kelab Liga Super diminta menghantar laporan kewangan kepada unit Financial Fair Play (FFP) Malaysian Football League (MFL).
Menerusi satu kenyataan oleh MFL, Unit FFP MFL telah menganjurkan satu lagi bengkel FFP pada 10 Julai 2024 bagi memberi lebih pemahaman mengenai pelaksanaannya kepada semua kelab Liga Super.
“Sebelum ini taklimat pelaksanaan FFP MFL melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pegawai Kewangan kelab-kelab Liga Super secara dalam talian dan bagi taklimat kedua ini dilakukan secara fizikal bersama Pegawai Kewangan semua pasukan.
Bukan itu sahaja, unit FFP MFL telah melakukan kunjungan terhadap beberapa buah kelab Liga Super sejak awal bulan Jun untuk melakukan audit kewangan secara proaktif.
Unit FFP MFL juga meminta setiap kelab Liga Super untuk menghantar laporan audit kewangan pada tarikh yang ditetapkan.
“Bagi proses pertama pelaksanaan FFP MFL musim ini, kesemua kelab Liga Super perlu menghantar dokumen kewangan sebelum 16 Julai 2024 bagi tujuan semakan oleh Unit FFP MFL untuk dihantar kepada FFP FIB.
“Jika terdapat kelab yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan maka FFP FIB boleh mengambil tindakan berdasarkan Peraturan FFP MFL Edisi 2024-2025 yang telah diberikan kepada semua kelab pada 15 April 2024,” jelas MFL dalam satu kenyataan.
Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB), Tuan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif turut memberikan penerangan berkenaan objektif penubuhan Peraturan FFP MFL dalam memberikan kesan positif kepada kawalan kewangan kelab-kelab Liga Malaysia.