Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal menjual rumput Stadium MetLife yang menjadi lokasi final Piala Dunia 2026.
Al-Jazeera melaporkan rumput seksyen tertentu stadium berkenaan akan dijual pada harga AS$450 (RM1,833). Jualan seksyen rumput berkenaan sudah mula dilaksanakan sejak 11 Julai lalu.
Penjualan rumput tersebut bertujuan memberi peminat memiliki cenderamata untuk aksi final kejohanan bola sepak yang berprestij itu.
Meskipun begitu, hanya pembeli yang memiliki alamat sekitar Eropah dan Amerika Syarikat (US) saja yang boleh mendapatkannya secara penghantaran. Penghantaran hanya akan dibuat selepas final Piala Dunia berlangsung.
Peminat boleh mendapatkan rumput mengikut kategori tertentu. Bagi kategori rumput berkualiti, harganya mencecah AS$3,000 (RM12,225).
Peminat juga memiliki pilihan mendapatkan rumput mengikut kategori harga AS$450 (RM1,833), AS$900 (RM3,667) dan AS$1,200 (RM4,890).
Meskipun dipilih sebagai venue final Piala Dunia 2026, permukaan padang Stadium MetLife kerap dikritik pemain, jurulatih dan penyokong dari segi kualiti.
FIFA dijangka menjana hasil jualan sebanyak AS$11 juta (RM45 juta) menerusi penjualan produk cenderamata tersebut.