FIFA Padam Imej Promosi Pemain Al Ahly Gara-Gara Gelang ‘Free Palestine’
MakanBola
FIFA/ Al Ahly

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini telah memadam imej promosi pemain Al Ahly menjelang aksi Piala Dunia Kelab 2025 di antara Al Ahly dan Inter Miami.

Pemain Al Ahly, Hussein El Shahat dilihat memakai gelang bertulis ‘Free Palestine’ dalam sesi penggambaran menjelang aksi Piala Dunia Kelab menentang Inter Miami sebelum ini. Imej berkenaan kini sudah dihapuskan dan tidak lagi digunakan sebagai sebahagian daripada bahan promosi kejohanan tersebut.

Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan sukan dari England, Leyla Hamed menerusi satu hantaran di laman X beliau.

“FIFA telah mengeluarkan imej promosi pemain Al Ahly, Hussein El Shahat menjelang perlawanan Piala Dunia Kelab mereka menentang Inter Miami, selepas mengesan pemain itu memakai gelang ‘Free Palestine’.

“FIFA bukan sahaja berdiam diri mengenai pembunuhan beramai-ramai, mereka mendiamkan sesiapa sahaja yang menentangnya,” kongsi Leyla di laman X.

FIFA sebelum ini telah menekankan bahawa semua pemain dan pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan anjuran mereka perlu mematuhi peraturan yang diberikan.

Hal ini termasuk penggunaan simbol, mesej, atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau bantahan terhadap mana-mana pihak dalam konflik semasa.

Untuk rekod, Al Ahly merupakan pemenang tempat ketiga Piala Dunia Kelab FIFA edisi yang terdahulu apabila menundukkan kelab Jepun, Urawa Red Diamonds.