Perlawanan akhir Piala FA yang melibatkan pertembungan antara dua pasukan gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Terengganu dijangka bakal berlangsung dalam suasana hujan.
Aksi dramatik yang dijadualkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini berisiko apabila kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang kini sedang mengalami hujan dengan kerap.
Menurut laporan oleh Jabatan Kajian Cuaca, hujan telah pun membasahi ibu kota pada waktu petang dan malam pada kebanyakan hari minggu ini dan perkara ini mungkin berterusan pada esok hari.
Walaupun ramalan cuaca pada Sabtu menunjukkan keadaan berawan pada sebelah petang dan malam, cuaca pada sebelah pagi dijangka kekal hujan.
Hal ini sudah pasti menimbulkan kerisauan kepada para penyokong terutamanya pemain dalam usaha mereka menampilkan aksi terbaik pada pentas akhir kali ini.
Seperti yang sedia maklum, Stadium Nasional Bukit Jalil mencuri perhatian umum apabila berlakunya takungan air pada permukaan padang ketika hujan lebat melanda pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.
Permukaan padang yang basah selain takungan air sudah tentu bakal menjejaskan percaturan pasukan untuk mempamerkan kemampuan sebenar di atas padang.
Ekoran daripada hujan lebat, hal ini telah menimbulkan kesukaran disebabkan ia boleh menjadi salah satu faktor yang mengganggu perjalanan perlawanan yang dinanti-nanti oleh puluhan ribu rakyat Malaysia.
Kedua-dua pasukan sudah tentu mahu perlawanan berlangsung dengan lancar tatkala JDT kali terakhir mengecapi kejayaan pada tahun 2017 sementara Terengganu mahu mengulangi kejayaan 11 tahun lalu.
Anak didik Hector Bidoglio kini dalam momentum terbaik apabila mereka sedang mendahulu carta Liga Super sementara Terengganu berada pada kedudukan terbaik setelah mengharungi pelbagai ranjau untuk sampai ke pentas akhir.