Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengingatkan pasukan gergasi selatan tanah air itu agar berwaspada dengan cabaran Kuching City FC di pentas final Piala Malaysia.
Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas cabaran yang bakal dibawa anak buah Aidil Sharin Sahak itu di peringkat akhir.
Farizal yang juga bekas penjaga gol Harimau Malaya melihat Kuching City bukan saja konsisten dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Malah, pasukan itu juga cukup merbahaya dari segi serangan balas.
Farizal turut memilih Ronald Ngah Wanja dan Ramadhan Saifullah Usman sebagai figura yang harus diawasi JDT dalam perlawanan tersebut.
“Di atas kertas, JDT pasukan pilihan. Tetapi mereka tidak boleh ambil mudah dengan Kuching City di mana mereka cukup konsisten dalam liga domestik kita.
“Dan (JDT) perlu berhati-hati dari segi serangan balas yang efektif terutamanya daripada Ramadhan (Saifullah) dan Ronald Ngah Wanja,” katanya.
Meskipun begitu, Farizal tetap melihat JDT sebagai pasukan pilihan. Ini disebabkan status Harimau Selatan sebagai juara bertahan dan juara Liga Super musim ini.
JDT dan Kuching City bakal berentap di pentas final di TM Stadium Nasional pada 23 Mei ini. JDT turun dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak edisi 2022.
Kuching City pula berharap bukan saja dapat meraih trofi berprestij itu buat kali pertama dalam sejarah kelab. Malah, ini menambah satu lagi catatan sejarah penting The Cats selepas muncul naib juara liga dan layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).