Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah menjadi pilihan Nizaruddin Yusof dalam kelompok 5 pemain sayap terbaik Malaysia ketika ini.
Saingan Liga Super Malaysia baru sahaja menutup tirainya dengan beberapa pemain mula mencuri perhatian peminat musim ini hasil persembahan memukau sepanjang 26 aksi ini.
Antara nama yang meraih tumpuan adalah tonggak Kuching City, Ramadhan Saifullah yang tampil cukup konsisten untuk membantu kelab dari Sarawak itu muncul sebagai naib juara Liga Super.
Kelibat Ramadhan Saifullah menjadi sorotan bekas tonggak kebangsaan, Nizaruddin Yusof apabila ditanya berkenaan prestasi hebat beliau yang menjadi perbandingan dengan pemain lain.
Dalam perbandingan membabitkan Arif Aiman, Faisal Halim, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, Nizaruddin meletakkan Ramadhan di tangga kedua terbaik antara 5 pemain sayap itu.
”Sehingga habis perlawanan malam ini (Ahad), saya berani meletakkan Ramadhan (Saifullah) di kedudukan kedua, di belakang Arif Aiman,” jawab Nizaruddin Yusof penuh yakin ketika menjadi panel di Astro Arena.
Nizaruddin percaya dengan lambakan pemain sayap yang berkualiti seperti ini bakal memberi kelebihan besar untuk Harimau Malaya bagi mencari pemain yang sesuai dengan taktikal Peter Cklamovski.
”Kerana saya percaya pada akhirnya, ini akan memberikan keuntungan untuk skuad kebangsaan sebab memiliki 5-6 pemain sayap yang kena dengan taktikal Peter Cklamovski untuk beraksi di posisi itu.”
Dengan prestasi memukau Ramadhan ini, Nizaruddin yang pernah menyarung jersi negara juga yakin pemain Kuching City mampu memberikan sumbangan besar kepada skuad kebangsaan.
”Jadi, beliau (Peter Cklamovski) ada banyak pilihan dengan Ramadhan (Saifullah) kini berada di tahap terbaiknya dan ini sesuatu yang bagus untuk dia dan skuad kebangsaan,” ulas Nizaruddin Yusof lagi.
Untuk rekod, Ramadhan menjaringkan 9 gol dan membuat 12 bantuan jaringan dalam 34 perlawanan untuk Kuching City sekali gus melakar musim yang penuh bersejarah buat kelab dari Sarawak ini.