Bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias berkongsi ciri kualiti yang menaikkan nama Ramadhan Saifullah Usman musim ini.
Farizal yang pernah beraksi bersama Ramadhan dalam pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melihat pemain sayap kebangsaan itu bukan saja memiliki kepantasan dari segi larian.
Malah, beliau melihat Ramadhan mampu menggelecek dan mencipta peluang jaringan. Farizal melihat hal ini dibantu dengan beliau mendapat minit permainan yang kerap bersama Kuching City FC.
“Untuk saya, beliau mempunyai kepantasan. Beliau berani untuk melakukan gelecekan, melakukan larian antara penyerang dan melakukan cubaan daripada kaki kanan beliau,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
“Beliau seringkali melakukan larian dalam kotak penalti dan melakukan satu larian yang sangat
baik. Kita dapat lihat juga pada musim ini, banyak beliau melakukan perkara sebegitu.
“Saya rasa yang penting adalah Ramadhan mendapat minit permainan yang sangat baik. Sebab itu beliau dapat menonjolkan diri atau membuktikan diri beliau yang mana beliau juga ada kualiti di situ. Saya rasa kita harus kena beri kredit kepada beliau.”
Ramadhan membantu Kuching City meraih kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC dalam aksi terbaru Liga Super di Stadium Negeri Sarawak.
Selepas menyertai The Cats menerusi perpindahan tetap musim ini, Ramadhan telah merekodkan 28 penampilan, tujuh gol dan 11 bantuan gol.