Kuching City menewaskan Sabah FC dengan keputusan 2-0 dalam aksi minggu ke-20 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu.
The Cats mempertaruhkan Haziq Nadzli di posisi penjaga gol, James Okwuosa sebagai kapten pasukan, manakala Ronald Ngah menjadi sandaran utama di jentera serangan.
Sabah FC pula meletakkan Damien Lim sebagai benteng terakhir, Dominic Tan memimpin pasukan selaku kapten, manakala gandingan berbisa Azhad Harraz & Fergus Tierney dijadikan ayam tambatan serangan.
Kuching City dilihat memulakan perlawanan dengan tempo yang tinggi bagi memburu jaringan pembukaan.
Kuching City meledak gol pertama aksi hasil jaringan cantik oleh pemain import Timor Leste, Joao Pedro pada minit ke-5 perlawanan sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.
Petrus Shitembi mencipta jaringan kedua hasil bantuan jaringan oleh penyerang berbisa The Cats, Ronald Ngah pada minit ke-26.
Memasuki minit ke-35 kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, The Cats dengan dua gol.
Fergus Tierney dilihat melancarkan serangan berbahaya untuk mengacau-bilaukan pertahanan Kuching City, namun ketangkasan pertahanan The Cats wajar dipuji kerana berjaya menahan ancaman itu.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kuching City.
Bersambung ke babak kedua, Sang Badak meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol penyamaan aksi.
Kuching City tampak terus menerus menguasai perlawanan dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya menerusi Joao Pedro.
Sabah turut melepaskan beberapa rembatan kencang menerusi Azhad Harraz dan Fergus Tierney namun masih gagal menembusi gawang pasukan The Cats yang dikawal oleh Haziq Nadzli.
Aksi tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kuching City.
Selepas ini, anak buah Aidil Sharin akan menentang Penang, manakala Sang Badak pula dijadualkan turun menentang Imigresen pada 14 Mac depan dalam aksi Liga Super Malaysia.