Kuching City Tetap Waspada Cabaran Sabah
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC tidak akan memandang rendah cabaran Sabah FC menjelang aksi terbaru Liga Super di Stadium Negeri Sarawak pada Sabtu.

Perkara ini dinyatakan pengendali pasukan itu, Aidil Sharin Sahak. Meskipun berdepan prestasi tidak menentu sepanjang musim ini, Aidil percaya Sabah mampu memberi cabaran kepada The Cats.

Ini kerana pada hematnya, Sang Badak sentiasa memberi cabaran tanpa mengira siapa lawan mereka.

“Sabah sentiasa memberi ancaman kepada lawan mereka. Walaupun prestasi mereka ketika ini kurang memberangsangkan, tetapi kami tetap berwaspada,” katanya seperti dilaporkan TVS.

Aidil turut melihat kesungguhan Sabah membawa masuk beberapa pemain import baharu dan jurulatih, Juan Torres Garrido melambangkan keinginan mereka memperbaiki kedudukan liga.

Atas sebab itu, jurulatih Singapura itu mahu Kuching City mempamerkan aksi terbaik jika mereka ingin meraih tiga mata penuh.

“Sekarang dengan kemasukan beberapa pemain import baharu, ia jelas menunjukkan bahawa mereka serius untuk berusaha memperbaiki kedudukan,” tambahnya.

Kuching City berharap dapat meraih kemenangan ke atas Sabah. Ini kerana tiga mata amat diperlukan anak buah Aidil untuk memberi tekanan kepada Selangor FC dan KL City FC yang menduduki tangga kedua dan ketiga liga.