Liga Super: Kuching City Cipta Sejarah Ke ACL2, Tewaskan KL City
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC mencipta sejarah layak ke Asia apabila bergelar naib juara Liga Super musim 2025/26.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi terakhir liga di Stadium Negeri, Kuching.

Kuching City tahu mereka perlu menang ke atas The City Boys untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.

Ini kerana hanya kemenangan saja yang dapat membantu The Cats mengatasi cabaran Selangor FC di tempat ketiga liga. Selain itu, ini juga peluang buat anak buah Aidil Sharin Sahak menutup kempen di tempat sendiri dengan kemenangan.

Gandingan Jerome Mpacko Etame, Ronald Ngah Wanja dan Ramadhan Saifullah Usman terus menjadi sandaran gol tuan rumah. KL City membawa masuk Dmytro Lytvyn dan Madger Gomes sebagai pengganti Giancarlo Gallifuoco dan Safawi Rasid.

Petrus Shitembi hampir menceriakan penyokong Kuching City seawal minit kelima. Malangnya, percubaan bekas jeneral tengah Terengganu FC itu dinafikan Quincy Kammeraad.

Gol yang dicari tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-29. Lontaran jauh Ariff Farhan Mohd Isa mencetuskan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti KL City sebelum ditolak Etame ke dalam gol.

KL City berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Negeri.

Kuching City menyangka telah meraih gol kedua menerusi Yuki Tanigawa. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Jurulatih KL City, Risto Vidakovic bertindak memasukkan Kpah Sherman sebagai pemain gantian untuk memburu gol. Sherman hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-57 tetapi dinafikan Haziq Nadzli.

Situasi ini mendorong Aidil membuat tiga pertukaran pemain. Beliau memasukkan Ahmad Israiwah, Joao Pedro dan Jimmy Raymond untuk memperkemaskan rentak pasukan.

KL City terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Kuching City layak ke Asia buat kali pertama dalam sejarah kelab berkenaan.

Kini, The Cats mengalihkan fokus kepada final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 23 Mei ini.