Giancarlo Gallifuoco Tamatkan Musim Lebih Awal
MakanBola
Kuala Lumpur City FC

Bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco terpaksa menamatkan musim 2025/26 lebih awal.

Ini selepas Gallifuoco mendedahkan beliau mengalami kecederaan tulang pipi retak. Kecederaan itu dialami dalam aksi Liga Super antara KL City dan Negeri Sembilan FC baru-baru ini.

“Perlawanan terakhir di tempat sendiri di hadapan keluarga KL kita,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

“Dengan tulang pipi saya retak pada dua bahagian, perlawanan pada malam Ahad lalu juga merupakan perlawanan terakhir saya musim ini.”

Gallifuoco mengakui kecewa kerana tidak dapat membantu KL City dalam aksi terakhir liga.

Pada masa sama, beliau tetap gembira kerana dapat membantu pasukan itu menamatkan musim dalam kelompok empat pasukan teratas liga. Ini kerana ini kali pertama KL City berada dalam kedudukan itu dalam tempoh 32 tahun.

“Keputusan seri kita di tempat sendiri memastikan kita berada dalam kelompok empat pasukan teratas buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun.

“Perkara ini tidak akan terjadi tanpa sokngan semua penyokong yang hadir menyokong kita dalam setiap perlawanan dan usaha semua rakan sepasukan dan staf kejurulatihan,” tambahnya.

The City Boys akan menutup kempen musim 2025/26 dengan bertandang ke Kuching pada 17 Mei. Aksi menentang Kuching City FC bukan sekadar peluang buat anak buah Risto Vidakovic menutup musim dengan kemenangan.

Malah, keputusan ini juga akan menentukan pasukan mana yang akan bergelar naib juara Liga Super. Ini kerana Kuching City dan Selangor FC berentap untuk merebut kedudukan kedua liga.