Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Risto Vidakovic menggesa kelab melaksanakan tiga penambahbaikan untuk pasukan itu pada musim hadapan.
Ini kerana pada hemat bekas jurulatih Lion City Sailors FC (LCS) itu, tiga perkara ini dapat membantu The City Boys lebih ke hadapan selepas ini.
Tiga perkara tersebut ialah padang latihan tetap untuk pasukan, pembayaran gaji pemain dan staf kejurulatihan dibuat tepat pada masanya dan membawa masuk pemain baharu.
“Saya fikir kita mengharungi satu musim yang bagus. Kita bermain bola sepak yang bagus dan dengan sedikit bantuan, kita mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik.
“Tetapi dengan mengambil kira situasi yang melanda kelab, ia satu musim yang bagus. Sudah tentu terdapat banyak perkara yang perlu ditambah baik harapnya pada musim hadapan.
“Kelab mungkin boleh mengatur pusat latihan (padang latihan tetap) untuk kita berlatih setiap hari. Mungkin juga membayar gaji tepat pada masanya dan membawa pemain baharu. Kita lihat,” katanya sebelum perlawanan menentang Negeri Sembilan FC.
Perlawanan tersebut menyaksikan pelawat mengikat The City Boys 2-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Negeri Sembilan pada awalnya mendahului menerusi Khuzaimi Piee.
KL City bangkit menyumbat dua gol menerusi Victor Ruiz dan Nicolao Cardoso. Oday Kharoub memastikan Sang Rusa mencuri satu mata dari Cheras dengan gol penyamaan pada minit ke-81.