Final Piala Malaysia: Kuching City Selesa Status Pasukan Bukan Pilihan
MakanBola
MFL

Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak melihat pasukan itu tidak berdepan tekanan menjelang aksi final Piala Malaysia 2025/26.

Kuching City dilabel pasukan bukan pilihan kerana ini kali pertama kelab Sarawak itu berjaya mara ke final Piala Malaysia dalam sejarah penubuhan mereka.

Lawan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula dilabel pasukan pilihan selaras dengan status sebagai juara bertahan dan juara Liga Super musim ini.

Aidil Sharin melihat label itu bukan halangan buat The Cats untuk tampil memberikan persembahan cemerlang ketika menentang JDT nanti.

“Untuk berada di sini, saya fikir sudah tentu ini bukan mudah kerana kita sebuah kelab kecil. Kita tidak memiliki nama besar, kita tiada bintang-bintang besar dalam pasukan tetapi ini berkaitan dengan kerja keras.

“Jadi, setiap hari mereka bekerja keras. Terdapat beberapa detik kita tahu kita tidak berada dalam detik terbaik. Tetapi saya fikir para pemain berjaya untuk bangkit semula.

“Karakter ini yang mereka miliki dan harapnya, kita dapat tamatkan dengan sesuatu yang bagus. Saya fikir pada masa ini, kita dalam keadaan bagus,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Kuching City berharap dapat menjadi pasukan Sarawak pertama bergelar juara Piala Malaysia. Sarawak hampir melakukannya pada 1999 tetapi tewas di tangan Brunei.

The Cats bakal berentap dengan JDT di pentas final di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Mei ini.