Gagal Di Shopee Cup, Lion City Sailors Pecat Ketua Jurulatih
MakanBola
Lion City Sailors FC

Lion City Sailors (LCS) bertindak memecat jurulatih pasukan itu, Aleksandar Rankovic susulan kempen hambar musim ini.

Keputusan itu diumumkan pengurusan LCS menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

“Lion City Sailors memutuskan untuk berpisah dengan ketua jurulatih, Aleksandar Rankovic berkuatkuasa serta-merta,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Kelab ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ranko kerana mengetuai kita dalam babak paling berjaya dalam sejarah kita dan kita mengucapkan selamat berjaya kepada beliau untuk masa akan datang.”

Musim 2025/26 menyaksikan LCS menelan kepahitan tersingkir di pentas ACL2 dan Shopee Cup. Selain itu, kelab itu turut merekodkan beberapa kekalahan mengejutkan.

Antaranya dimalukan Tampines Rovers 4-1 untuk aksi Singapore Community Shield dan tewas 2-0 kepada Svay Rieng dalam Shopee Cup.

Meskipun LCS bergelar juara Singapore Cup pada Disember lalu, itu tidak cukup untuk mengekalkan Rankovic mengemudi pasukan itu sehingga akhir musim ini.

Penolong jurulatih dari Sepanyol, Varo Moreno dilantik sebagai jurulatih interim sementara LCS mengenal pasti pengganti jurulatih Serbia itu.

Rankovic bukan satu-satunya jurulatih yang dipecat akibat keputusan buruk dalam Shopee Cup. Sebelum ini, BG Pathum United turut mengambil langkah memecat jurulatih Jepun, Masatada Ishii.