Penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Bergson da Silva mencuit hati penyokong dengan meraikan maskot cilik sebelum perlawanan ACL membabitkan JDT dan Kawasaki Frontale.
Kebiasaannya, barisan pemain kedua-dua pasukan dan pasukan pegawai perlawanan akan bersalaman bagi meraikan semangat kesukanan sebelum perlawanan.
Jadi, normal bagi sesetengah maskot yang mahu bersalaman dengan pemain pujaan mereka. Menerusi satu video yang dikongsikan Astro Malaysia, itu yang berlaku dalam perlawanan JDT-Frontale.
Sebaik melihat maskot yang mengiringi pengadil Qatar, Abdul Rahman Al-Jasim mahu bersalaman dengan pemain, Bergson memilih bersalaman dengan kanak-kanak berkenaan.
Setelah bersalaman dengan penyerang Brazil itu, maskot cilik berkenaan memeluk Bergson sebagai tanda terima kasih.
Gelagat kanak-kanak itu turut membuatkan Al-Jasim dan pegawai-pegawai perlawanan lain tersenyum. Di media sosial, ramai memuji perilaku Bergson.
Anekdot ini sedikit sebanyak menceriakan penyokong JDT selepas melihat pasukan mereka tumbang 1-0 kepada Frontale.