Gelanggang Futsal Bertaraf Dunia Sedia Digunakan JDT

Stadium Tertutup Pasir Gudang JDT Futsal Gelanggang Futsal Bertaraf Dunia Sedia Digunakan JDT
JDT Futsal
Azim Noor @mohdazim45
1:34pm 16/03/2023

Selepas muncul sebagai kuasa bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berusaha melakukan perkara sama di arena futsal pula. Dan itu dicapai dengan menggunakan Stadium Tertutup Pasir Gudang untuk melonjakkan JDT dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).

Ini selepas pasukan futsal JDT berkongsi imej terbaru gelanggang futsal yang bakal digunakan mereka dalam saingan MPFL musim ini.

Sebelum ini, JDT terpaksa bermain tiga perlawanan awal mereka di gelanggang lawan susulan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan yang dibuat di stadium tersebut. Tetapi hari ini, ia amat sesuai sebagai lokasi penganjuran kejohanan futsal antarabangsa mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ini dilihat seiring dengan matlamat JDT yang sentiasa menjanjikan yang terbaik dalam segala aspek. Dengan gelanggang baru di Stadium Tertutup Pasir Gudang, ia bakal menjanjikan bukan saja perlawanan mantap tetapi sokongan padu penyokong terhadap JDT.

Ia bakal digunakan buat kali pertama untuk perlawanan MPFL membabitkan Harimau Selatan dan PFA Odin Sarawak pada 18 Mac ini.