Gelar Rafael Nadal Musuh Negara, Pegawai Barcelona Letak Jawatan
Dunia
Rafael Nadal/AFP
Advertisements

Bila sudah dipilih sebagai pegawai mana-mana organisasi, amat penting untuk menjaga diri daripada terjebak dengan sebarang bentuk kontroversi. Ini termasuk mengelak daripada mengeluarkan kenyataan bersifat pendek akal. Fakta ini memaksa seorang pegawai Yayasan Barcelona meletak jawatan selepas menggelar bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal sebagai musuh negara.

Kelancangan naib presiden yayasan Alfons Godall mengundang kritikan ramai pihak di Sepanyol selepas menaikkan ciapannya tidak lama selepas Nadal memenangi Terbuka Australia 2022. Susulan itu, beliau meletak jawatan dan ia didedahkan oleh presiden Joan Laporta dalam majlis pengenalan Pierre-Emerick Aubameyang kepada media semalam.

Dalam ciapannya di Twitter pada 31 Ogos, beliau menulis, “Rafael Navidad membuatkan aku tak selesa dari hari pertama lagi. Aku letakkan dia dalam satu kumpulan sama dengan La Roja (pasukan bola sepak Sepanyol), Real Madrid, Fernando Alonso atau mana-mana entiti yang mewakili musuh negara.”

Advertisements

Godall merujuk nama Nadal kepada Navidad, kedua-duanya bermaksud Krismas. Nadal di sini ialah terma Catalan sementara Navidad merupakan terma Sepanyol. Godall berbuat demikian kerana diketahui cenderung menyokong kemerdekaan negeri Catalonia daripada Sepanyol.

Susulan kenyataan tersebut, beliau dikecam oleh pekerja-pekerja, penaja dan media. Tidak mahu kedudukan Yayasan Barcelona dalam bahaya dan menjamin kebebasannya untuk bersuara, Godall memilih meletak jawatan secara sukarela pada Rabu lepas. Keputusan tersebut diterima dan dihormati oleh ahli lembaga pengarah kelab.

Nadal mencipta sejarah dengan menggondol gelaran ke-21 Grand Slam selepas memenangi Terbuka Australia baru-baru ini. Walaupun berasal dari Mallorca, beliau memang diketahui sebagai peminat Real Madrid. Susulan kejayaannya pada akhir Januari lepas, ramai mengucapkan tahniah termasuk dari Barcelona.

Advertisements

Laporta secara bergurau menambah, “Yang sedihnya ialah beliau (Nadal) bukan berasal dari Barcelona. Tetapi kami memaafkannya kerana beliau membuatkan kami menyukai corak permainan tenisnya.”

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram