Peguam Sukan terkemuka Malaysia, Zhafri Aminurrashid menegur sikap segelintir pihak yang terlalu mendambakan jawatan di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau konsisten menyatakan perkara tersebut selepas dilihat beberapa pihak cuba untuk menggunakan nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Baginda pernah berkhidmat di FAM sekitar tahun 2014-2017 sebelum melepaskan pucuk pimpinan tersebut untuk diketuai nafas baharu.
Zhafri dalam satu hantaran menyampaikan mesej jelas agar pihak yang memiliki kelayakan segera berjumpa dengan Ahli Gabungan untuk menunjukkan kelayakan masing-masing.
Bukan itu sahaja, beliau dalam satu hantaran lain menggariskan kriteria yang perlu dilihat secara holistik sekiranya seseorang itu mahu dicalonkan selaku Presiden FAM yang baharu.
“Penglibatan kerabat diraja dalam peranan kepimpinan FAM sememangnya membawa cabaran tersendiri, termasuk pendedahan kepada kritikan awam serta pandangan pelbagai pemegang taruh.
“Dalam konteks ini, sebarang isu atau kontroversi yang timbul berpotensi memberi implikasi negatif terhadap institusi diraja, memandangkan prestasi pasukan kebangsaan sering dijadikan ukuran utama terhadap keberkesanan badan induk bola sepak negara.
“Sehubungan itu, adalah lebih wajar untuk memelihara kesucian dan martabat institusi diraja daripada sebarang kecaman atau kritikan yang tidak perlu.
“Oleh yang demikian, jawatan-jawatan utama seperti Presiden FAM adalah lebih sesuai disandang oleh individu awam, bagi memastikan institusi diraja kekal dihormati dan tidak terheret ke dalam polemik pentadbiran sukan.
Beliau berpandangan bahawa faktor perubahan bola sepak moden juga perlu menjadi pandangan dalam usaha memiliki pucuk pimpinan yang baharu.
“Cadangan agar kepimpinan lama kembali menerajui FAM perlu dinilai dengan mengambil kira perubahan besar dalam landskap bola sepak global.
“Bola sepak hari ini menuntut pemahaman mendalam terhadap sistem pelesenan, pembangunan akar umbi berasaskan kelab, serta perancangan jangka panjang yang berteraskan prestasi dan tadbir urus moden.
“Pengalaman dan gelaran semata-mata tidak lagi mencukupi. Kepimpinan yang benar-benar memahami realiti semasa bola sepak profesional dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan adalah lebih relevan daripada nostalgia masa lalu,” tambahnya lagi.