Pemain berdarah Malaysia-England, Jaami Muhammad Qureshi baru-baru ini menampilkan aksi yang cukup mempersonakan apabila berjaya membantu pasukannya ketika beraksi dalam satu perlawanan bawah 18 tahun di sana.
Pemain berusia 17 tahun itu sudah beberapa musim beraksi bersama pasukan muda Brighton and Hove Albion dilihat menjadi watak utama buat kelab yang berpangkalan di England itu apabila beliau sering diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Pada musim ini, beliau telah beraksi dalam lapan perlawanan bersama pasukan tersebut sekali lagi turun dalam kesebelasan utama pasukan. Kebolehan pemain muda ini untuk bermain di pelbagai posisi telah diletakkan selaku pemain sayap kanan dalam perlawanan tersebut.
Bukan itu sahaja, pemain yang menjadi rebutan negara Iraq ini juga menampilkan akasi yang cukup memberangsangkan apabila gerakan lincahnya selain kelajuan yang dimiliki oleh bintang masa depan Eropah ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melepasi kawalan pemain lawan.
Ini terbukti berhasil apabila beliau berjaya melepasi kawalan beberapa pemain di bahagian kanan padang sebelum satu hantaran lintang cantiknya singgah tepat kepada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol buat Brighton.
Sungguhpun pasukannya tewas pada perlawanan tersebut, namun aksi yang ditampilkan oleh Qureshi sememangnya membuktikan bahawa pengalaman dan latihan di Eropah telah membantunya untuk menjadi seorang pemain yang berkebolehan dan mampu menjadi antara prospek masa depan di sana.
Sebelum ini, bapanya telah mengesahkan bahawa FAM tidak ada menawarkan apa-apa peluang buat anaknya beraksi bersama pasukan negara.