Gerrard Mohon Pep Rehatkan Haaland

Nabil Fahmi
@nabilfamy
10:07am 03/09/2022

Menjelang aksi Liga Perdana Inggeris yang menemukan Aston Villa dan Manchester City awal pagi esok, pengendali Aston Villa, Steven Gerrard sedar mengenai ketajaman penyerang berbisa City, Erling Haaland.

Dalam masa yang sama, Gerrard berharap agar Haaland akan direhatkan dalam aksi menentang pasukannya di laman sendiri.

“Dia sangat berbeza. Seorang penyerang yang fizikal. Kami akui bahawa dia (Haaland) mempunyai kebolehan seorang penyerang bertaraf dunia dan kini dia berjaya buktikan.

“Jadi saya memohon dan berharap agar Pep Guardiola akan merehatkan beliau (menentang Aston Villa),” kata Gerrard kepada Skysports.

Haaland kini sudah meledak 9 gol daripada 5 perlawanan yang dilalui. Pemain antarabangsa Norway itu juga menghasilkan dua hatrik dalam dua aksi terakhir liga bersama City.

Gerrard dalam pada itu mengakui bahawa semua pihak sudah tentu meramalkan bahawa Manchester City akan menang menewaskan Aston Villa.

“Semua orang akan meramalkan mereka (Manchester City) akan menang perlawanan ini dan menang dengan selesa. Ianya merupakan cabaran buat kami untuk membuktikan bahawa mereka salah,” tambah Gerrard.