Pertahanan kental KL City, Giancarlo Gallifuoco telah merekodkan pencapaian ke-100 bersama kelab dan berhasrat kekal sehingga bersara.
Pemain kelahiran Australia itu menjadi tunjagmng penting bersama The City Boys memasuki musim ke-4 nya bersama pasukan.
Beliau memberikan segalanya di atas padang untuk memastikan KL City menjadi pencabar hebat dalam mana-mana kejuaraan setiap musim.
Aksi menentang Sri Pahang di Stadium Cheras merekodkan penampilan ke-100 buat bekas pemain Tottenham Hotspurs ini bersama kelab Ibu Kota.
Beliau dalam satu hantaran di laman sosial menzahirkan rasa teruja dan bangga atas pencapaian luar biasa ini.
“Kepada rakan sepasukan yang luar biasa dan juga setiap penyokong lelaki dan wanita di Ibu Kota, terima kasih banyak,” katanya.
Giancarlo juga menyimpan hasrat untuk merekodkan lebih banyak penampilan bersama KL City pada masa hadapan.
“Di sini untuk 100 lagi penampilan,” jelasnya dalam hantaran tersebut.
Beliau secara terbuka juga mahu kekal selama mungkin di KL City sehingga bersara sekiranya diberikan peluang.
“Seperti yang saya katakan, Sampai Mati Kuala Lumpur. Saya sebolehnya mahu kekal di sini sehingga bersara,” jelasnya kepada laman Harimau Malaya.
Bekas pemain Australia B-23 ini telah membantu KL City untuk layak ke tiga pentas final dalam tempoh tiga tahun termasuklah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2021.