Gila Betul Faisal Halim Ini, Tercungap Corbin Ong
Dunia
Terengganu FC
Advertisements

Pemain sayap Terengganu FC, Muhammad Faisal bin Abdul Halim telah mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan yang membabitkan Johor Darul Ta’zim menentang Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2022.

Walaupun Terengganu tidak berjaya mencatatkan kemenangan, namun peranan yang dimainkan oleh para pemain Terengganu wajar sekali dipuji. Kelibat Faisal di bahagian sayap kanan telah memberi impak yang cukup besar buat pasukan kendalian Nafuzi Zain dan perkara ini turut diakui oleh pengendali JDT, Benjamin Mora.

Dalam perlawanan tersebut, banyak serangan yang dicipta bermula daripada sebelah kanan pasukan Terengganu. Gandingan Faisal bersama Kpah Sherman dan Manuel Ott beberapa kali berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan JDT.

Advertisements

Pada minit ke-17 permainan, larian deras daripada Faisal gagal disekat oleh pemain JDT, Corbin Ong dan Shane Lowry. Gelecekan solo daripada Faisal telah menatijahkan kepada satu rembatan ke gawang JDT. Bagaimanapun percubaan Faisal itu sedikit tersasar.

Tidak terhenti setakat itu, Faisal juga menjadi watak penting ketika pasukan Terengganu mendapatkan gol pertama. Posisi dan kedudukan Faisal telah memberikan ruang buat Manuel Ott melakukan larian sebelum jaringan tunggal Terengganu itu disempurnakan oleh Kpah.

Pada babak kedua permainan, prestasi yang ditampilkan pemain berusia 24 tahun ini terus terserlah apabila aksi meyakinkan Faisal telah membuka banyak peluang buat pasukan Terengganu. Kerajinan dan kesungguhan yang dipamerkan Faisal membuktikan ketajaman yang dimiliki anak jati Pulau Pinang ini bukan calang-calang.

Advertisements

Kelincahan serta keberanian pemain bertubuh kecil ini untuk melakukan larian masuk ke dalam kotak penalti lawan membuatkan benteng pertahanan JDT tak senang duduk. Bagaimanapun perlawanan kelmarin bukanlah ‘tuah’ buat Faisal dan rakan sepasukan apabila banyak serangan dan peluang yang dimiliki gagal menatijahkan kepada jaringan.

Terengganu terpaksa menerima kekalahan tipis kepada JDT, 2-1. Anak buah Nafuzi Zain bakal berentap menentang pasukan Sarawak United bagi aksi seterusnya yang telah dijadualkan pada 17 April di Stadium Negeri, Kuching Sarawak.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram