Giliran Arif Aiman Ke Dunia Model
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi menjadi ahli sukan terbaru menceburi dunia permodelan.

Ini selepas pemain sayap berusia 23 tahun itu diumumkan sebagai duta terbaru jenama pakaian terkenal, Elrah.

Perkara ini disahkan pengasas Elrah, Muhd Hilmi Che Azman atau El Azman menerusi satu hantaran video di Instagram.

“Cita-cita peribadi saya tetap saya. Kekal jadi kreatif. Kekal jadi budiman. Sentiasa berada di depan dan menjadi lebih baik,” katanya.

Meskipun wajah pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak didedahkan, nombor jersi beliau iaitu 42 jelas kelihatan dalam video tersebut.

Arif Aiman menjadi figura sukan terbaru yang dilantik sebagai duta eksklusif Elrah untuk tahun 2026.

Sebelum ini, Elrah turut meneruskan kerjasama dengan juara ARRC ASB1000, Hafizh Syahrin Abdullah buat tahun kedua berturut-turut.

Elrah juga berjaya mendapatkan jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali dan juara dunia ONE Championship, Superbon Singha Mawynn sebagai duta mereka.