Ivan Perisic menyentuh hati peminat bola sepak apabila sanggup menerima gaji RM5 sebulan demi menyertai kembali kelab zaman remajanya, Hajduk Split.
Hajduk Split merupakan kelab bola sepak pertama Ivan Perisic dan beliau merupakan produk akademi yang paling berjaya dalam sejarah kelab Croatia tersebut.
Kepulangan pemain sayap ini setelah 17 tahun adalah untuk membantu kelab memenangi kejuaraan liga Croatia sejak kali terakhir muncul juara pada tahun 2004 yang lalu.
Hajduk Split kini merupakan pendahulu liga Croatia setelah mengumpul 41 mata setelah mencatat 13 kemenangan, 2 seri dan 4 kekalahan dalam 20 perlawanan liga. Mengekori rapat posisi pertama Hajduk ialah kelab Rijeka yang mengumpul 35 mata setelah mengharungi 18 perlawanan liga.
Menurut Daily Mail, Ivan Perisic bersetuju menerima gaji €1 bersamaan dengan RM5 sebulan bagi meningkatkan lagi semangat para pemain untuk mengejar kejuaraan liga.
Ivan Perisic bukanlah satu-satunya pemain yang menerima gaji RM5 sebulan apabila penyerang veteran Croatia, Nikola Kalinic turut bersetuju menerima gaji serendah itu demi kelab zaman remaja beliau.
Ivan Perisic sebelum ini bermain untuk Tottenham Hotspur namun kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) yang dialaminya pada September tahun lalu menyaksikan beliau terpaksa berehat panjang dari bermain bola sepak.
Walaupun pemain berusia 34 tahun itu masih belum pulih sepenuhnya, Perisic mengambil keputusan untuk kembali menyertai Hajduk Split memandangkan kontrak beliau bersama Spurs akan tamat pada bulan Jun ini.
Bintang Croatia itu meninggalkan Spurs secara pinjaman dan bakal menjadi pemain tetap Hajduk Split selepas bulan Jun kelak.
Ivan Perisic mengharungi karier yang panjang di pentas Eropah apabila pernah bermain buat pasukan Borussia Dortmund, Wolfsburg, Inter Milan, Bayern Munich dan Tottenham Hotspur.
Perisic pernah memenangi Bundesliga bersama Bayern dan Serie A bersama Inter Milan. Malah pemain ini turut memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim 2019/2020 bersama Bayern.
Kenangan terindah Perisic di peringkat antarabangsa pastinya sewaktu membantu Croatia mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 sebelum Croatia tewas 2-4 kepada Perancis. Ivan Perisic menjaringkan 3 gol dan 1 bantuan jaringan dalam kejohanan Piala Dunia 2018 tersebut.