Selepas dua kali tewas dalam saingan Piala FA, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan berentap sekali lagi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan yang berbeza.
Skuad muda Kedah iaitu Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) akan bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam saingan Piala MFL yang dijadualkan berlangsung pada Rabu (7 Ogos).
Perlawanan hangat itu bakal dilangsungkan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang iaitu stadium yang dikhaskan untuk semua aksi yang melibatkan JDT II.
JDT II kini menduduki tangga kedua dalam carta Piala MFL dengan mengumpul 13 mata selepas melalui enam perlawanan. Manakala KDA FC B pula kini menghuni tangga ke-9 selepas hanya mengumpul 7 mata selepas 6 perlawanan.
Kelantan Darul Naim FC II kini mendahului carta liga dengan mengumpul 17 mata selepas 7 perlawanan dan masih belum tewas setakat ini.
JDT II berpeluang merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga jika mereka berjaya menewaskan skuad muda Kedah malam ini.
Penjaring terbanyak Piala MFL setakat ini, Gabriel Nistelrooy dijangka bakal menjadi harapan JDT II dalam mencari jaringan sekali gus memberikan tiga mata berharga buat skuad kendalian Mariano Echeverria itu.