Pemain kacukan Malaysia, Kobe Chong mula mencipta impak bersama pasukan barunya, Alvechurch dengan membantu mereka meraih kemenangan berganda dalam aksi pra-musim.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu membantu The Church meraih kemenangan besar 5-1 ke atas Sutton Coldfield Town pada 22 Julai lalu.
Ini disusuli kemenangan 1-0 ke atas Boldmere St. Michaels yang berlangsung semalam. Lebih manis, Kobe menyumbat gol kemenangan buat The Church pada minit kelima.
Bagi bekas pemain Peterborough itu, ia satu kelegaan bagi dirinya kerana berjaya meraih gol sulung bersama The Church.
“Ini hanya permulaan,” katanya secara ringkas di Twitter sambil mengulangciap catatan gol yang direkodkan Alvechurch.
The Church bakal memulakan kempen Non League Premier Southern Central musim ini menentang Hitchin Town pada 5 Ogos ini.