Nama pemain tengah kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal kembali menjadi sebutan apabila golnya dipilih sebagai Gol Terbaik Mingguan MLS Next Pro.
Gol pemain St. Louis City 2 itu dijaringkan semasa perlawanan terbaru MLS Next Pro menentang Minnesota United 2 baru-baru ini.
Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat City2. Kemenangan itu turut memastikan pasukan itu kekal tanpa kalah dalam enam perlawanan liga.
Selain Wan Kuzain, Mykhi Joyner turut mencipta nama sebagai penjaring untuk St. Louis City 2. Sementara Patrick Weah menjaringkan gol saguhati buat Minnesota United 2.
Rembatan Wan Kuzain yang dibuat dari luar kotak penalti itu menjadi pilihan peminat untuk Gol Terbaik Mingguan MLS Next Pro dengan undian sebanyak 82%.
Wan Kuzain mengenepikan saingan Diego Gonzalez (Houston Dynamo 2), CJ Olney Jr. (Philadelphia Union 2) dan Matt Evans (Los Angeles FC (LAFC) 2).
Pencapaian beliau turut menerima pujian City2 menerusi satu hantaran di X, “Hei, kita kenal pemain itu. Tahniah Kuz, kita tahu lebih banyak lagi pencapaian selepas ini.”
Kelebihan teknikal yang dipamerkan Wan Kuzain dijangka menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jurulatih skuad senior negara, Kim Pan-gon.
Malah, FAM dilaporkan sudah berhubung dengan beliau secara tidak langsung pada bulan lepas berhubung hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya.