Sabah meraih ‘durian runtuh’ hampir setengah juta ringgit setelah pamer aksi penuh memukau baru-baru ini.
Dengan status juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023, Sabah dipilih sebagai wakil Malaysia untuk bersaing dalam aksi kelayakan AFC Women’s Champions League (AWCL).
Di peringkat kelayakan ini, Sabah telah diundi di dalam kumpulan C bersama-sama juara liga Nepal, Armed Police Force (APF) FC dan juga PFC Nasaf dari Uzbekistan.
Dalam aksi pertama di Stadium Likas, Sabah yang diketuai oleh Steffi Sarge menunjukkan disiplin bertahan tinggi bagi mengikat APF FC tanpa jaringan pada 28 Ogos yang lalu.
Manakala bagi aksi kedua, Sabah turun dengan misi wajib menang untuk layak ke Asia dan impian itu tercapai setelah Win Theingi Tun muncul wira melakar sejarah baharu bola sepak wanita negara.
Selaku juara kelayakan kumpulan C, Sabah menempah tiket ke peringkat kumpulan AWCL secara merit dan akan bersaing bersama 3 lagi pasukan di dalam kumpulan A nanti.
Menurut Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pasukan yang layak ke peringkat kumpulan AWCL akan mendapat sekurang-kurangnya USD100,000 sekitar RM433,510.
Aksi peringkat kumpulan AWCL bakal membuka tirai pada 6 Oktober dengan Incheon Red Angels akan menjadi lawan pertama Sabah sebelum berdepan Wuhan Jiangda dan Abu Dhabi Country.