Penyerang muda negara, Muhammad Hadi Fayyadh bin Abdul Razak melaungkan keazaman untuk memberikan yang terbaik dalam temasya Sukan SEA Hanoi yang bakal melabuhkan tirai pada 7 Mei depan.
Edisi kali ini merupakan penampilan kedua buat Hadi dalam kempen Sukan SEA dimana sebelum ini beliau pernah bersama skuad bawah 23 tahun negara pada 2019 bagi edisi di Filipina. Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa mewakili skuad kebangsaan merupakan salah satu impian besar buat pemain bola sepak.
“Ini adalah mimpi setiap pemain, bermain untuk negara dan lakukan terbaik,” kata Hadi Fayyadh.
Pemain yang sedang berkelana di bumi Jepun ini menjelaskan bahawa beliau pulang ke tanah air dengan matlamat yang besar untuk membantu skuad kebangsaan. Jelasnya lagi beliau ingin melihat keputusan positif mampu dicatat buat skuad negara dalam temasya kali ini.
“Saya balik ini memang saya nak main bersungguh-sungguh dan harap dapat satu keputusan yang bagus di Sukan SEA,” ujar Hadi Fayyadh kepada Bernama.
Skuad kendalian Brad Maloney akan bertemu Thailand bagi aksi pertama saingan kumpulan B pada 7 Mei di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh. Temasya sukan dwitahunan ini memperlihatkan juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan separuh akhir.