Advertisements
Hannah Yeoh Dedah Kerajaan Beri RM5.63 Juta Buat Hoki Setahun
UltraSukan
UltraSukan
FIH

Susulan keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) membubarkan skuad hoki senior lelaki dan remaja lelaki hari ini, ramai ingin tahu jumlah dana yang diterima sukan itu.

Persoalan ini timbul kerana keputusan yang diumumkan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal mengejutkan ramai peminat hoki negara.

Lantas, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kerajaan memberi dana sebanyak RM5.63 juta kepada sukan hoki untuk tahun 2023.

Hal ini dikongsikan beliau menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya hari ini.

Daripada jumlah tersebut, RM2,084,618 dan RM1,129,990 masing-masing diberi kepada skuad hoki senior lelaki dan senior wanita negara. Kedua-dua pasukan ini tersenarai dalam Program Podium.

Manakala RM1,105,749 dan RM1,315,783 pula masing-masing diperuntukkan kepada skuad hoki dewan kebangsaan dan pasukan pelapis kebangsaan.

Hannah turut memaklumkan skuad hoki 5s negara bakal mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Meskipun ini acara baru yang diperkenalkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), skuad hoki 5s lelaki dan wanita negara mencipta pencapaian membanggakan dalam saingan Piala Dunia Hoki 5s 2024.

Skuad hoki 5s wanita negara membuktikan keupayaan mereka dengan menggondol tempat keenam Piala Dunia Hoki 5s Wanita 2024.

Sementara skuad hoki 5s lelaki pula berjaya mara ke final Piala Dunia Hoki 5s Lelaki 2024 selepas menewaskan Poland di pentas separuh akhir.

Mereka bakal bersemuka dengan kuasa hoki Eropah, Belanda tengah malam ini bagi menentukan siapa juara sulung kejohanan itu.

Jumlah peruntukan yang diterima sukan hoki dijangka bertambah untuk tahun 2024 kerana peruntukan dijangka meliputi tujuh pasukan.

Skuad hoki senior negara dijangka berwajah baru termasuk menerima sentuhan jurulatih baru.

Wajah baru The Speedy Tigers bakal diperlihatkan dalam Piala Sultan Azlan Shah edisi 2024. Kejohanan itu bakal berlangsung pada 4-11 Mei ini.