Malaysia melakar sejarah untuk layak ke final Hoki 5s Piala Dunia setelah menundukkan Poland di aksi separuh akhir pada pagi Rabu.
Skuad negara turun dengan misi besar membawa harapan jutaan rakyat Malaysia untuk beraksi di pentas akhir dalam edisi sulung ini.
Untuk rekod, Poland mempunyai rekod baik dengan memenangi pertemuan terakhir dengan keputusan 5-0 di Kejohanan FIH Hoki Lima Sebelah 2022 yang lalu.
Skuad negara bermula baik dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Arif Ishak pada minit ke-7 sebelum Poland bangkit menyamakan kedudukan melalui Damian Jarzembowski dua minit kemudian.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Malaysia kembali memimpin permainan dengan jaringan kedua menerusi jaringan padang Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-19.
Penyerang negara, Akhimullah Anuar menambah duka pasukan Poland dengan jaringan ketiga dan keempat buat skuad negara pada minit ke-22 dan minit ke-24 untuk menjadikan kedudukan 4-1 memihak Malaysia.
Poland berjaya menyumbat gol kedua menerusi jaringan padang Wojciech Rutkowski tiga minit sebelum tamat masa permainan.
Ketika permainan sudah hampir tamat, skuad negara dikejutkan dengan jaringan ketiga Poland menerusi gol padang Jakub Holosyniuk namun sudah terlambat untuk menghalang kemaraan Malaysia.
Keputusan Poland 3-4 Malaysia ini kekal sehingga siren penamat dibunyikan sekaligus mengesahkan tempat skuad negara di pentas akhir nanti.
Di pentas final, Malaysia bakal membuat perhitungan berdepan Belanda yang menewaskan Oman 5-3 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Aksi final di antara Malaysia dan Belanda dijadualkan berlangsung pada awal pagi Khamis jam 12.20 tgh malam.