Advertisements
Hannah Yeoh Kongsi Keadaan Terkini Padang Di SNBJ
Dunia
MakanBola
FA Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah berkongsikan keadaan terkini padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia selaku tuan rumah bakal berhadapan cabaran Oman pada 26 Mac kelak dan akan kembali menggunakan gelanggang keramat iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Rumput okay saya ada melawat stadium hari ini. Kerja penyelenggaraan sedang dijalankan oleh pihak kontraktor. Kita sentiasa pantau Perbadanan Stadium Malaysia untuk pastikan segala ekosistem bola sepak untuk memperbaiki ranking negara dijaga dengan baik.”

“Bukan saja padang Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi kita turut tawarkan peruntukan RM500 ribu kepada setiap pasukan untuk hadapi kalendar berbeza meliputi musim hujan bertujuan membantu ekosistem bola sepak agar lebih maju.” jelas Hannah Yeoh ketika ditemui di Restoran Nasi Kandar Pelita, Kuala Lumpur.

Kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil meraih perhatian penyokong bola sepak tempatan sewaktu kejohanan Pestabola Merdeka 2023 diadakan pada Oktober tahun lalu apabila Malaysia mengharungi cabaran India dan juga Tajikistan dalam situasi rumput padang yang mudah terkopak.

Kemudian stadium tersebut digunakan untuk penganjuran Konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November 2023 sebelum sekali lagi digunakan dalam aksi akhir Piala Malaysia 2023 pada awal Disember.

Penyokong Harimau Malaya kini memandang berat kualiti padang di stadium berkenaan lebih-lebih lagi Malaysia akan bertemu Oman yang berada di ranking ke-74 dunia untuk aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.