Umum mengetahui Perak FC merupakan salah satu pasukan yang tidak akan kelihatan dalam saingan Liga Super 2025/2026 selepas gagal memenuhi kriteria kewangan seperti ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan MFL.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi meluahkan rasa kesal dengan tindakan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang tidak membantu Perak FC sebaliknya lebih cenderung untuk membina pasukan baru bagi bersaing di Liga A1 Semi Pro.
Azim berkata demikian kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom. yang dikongsikan di laman X baru-baru ini.
“Apa seronoknya kita membantu satu pasukan baru dalam Liga A1 walhal kita boleh membantu Perak FC untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Super?
“Susah sangatkah untuk mereka memikirkan mengenai perkara ini? Mana satu yang patut anda bantu? PFC lah sepatutnya anda bantu.
“Jadi, tidak mengapa lah, kami sudah sampai tahap untuk mengucapkan selamat tinggal, habis cerita,” jelas Azim kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Dalam masa yang sama, Azim berharap pihak yang terlibat berseronok dengan melihat tiada lagi Perak FC di Liga Super.
“Saya harap semua yang terlibat seronoklah Perak sudah tiada dalam Liga Super, kalau ada pun mungkin dua atau tiga pasukan dalam liga A1,” katanya lagi.
Selain Perak, sebuah lagi pasukan yang sah tidak beraksi di Liga Super 2025/2026 adalah pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).