Harapan Besar Annuar Musa Buat Pasukan Liga Super
MakanBola
Tan Sri Annuar Musa

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa meletakkan harapan yang besar buat pasukan-pasukan yang mempunyai niat untuk mengundurkan diri dari kancah Liga Super.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berharap agar pasukan-pasukan yang menghadapi masalah dan mahu mengundurkan diri dari Liga Super agar terus berikhtiar dan tidak berputus asa.

Harapan Annuar musa itu disuarakan selepas satu perjumpaan bersama pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero baru-baru ini. Umum mengetahui, Sri Pahang dikatakan hampir pasti tidak akan kelihatan dalam saingan Liga Super musim hadapan.

“Malam tadi saya keluar mengopi bersama Sergio Aguero pemain bolasepak Sri Pahang FC untuk bertanya khabar tentang berita kononnya Sri Pahang tidak lagi beraksi dalam Liga Super.

“Adalah sesuatu yang memeranjatkan kalau banyak pasukan mengundur diri dari liga negara kita. Saya berharap semua pasukan akan terus berikhtiar dan tidak berputus asa. Meriahkan Liga demi Bola Sepak dan Sukan negara kita,” jelas Annuar Musa di laman Facebook.

Biarpun Sri Pahang semakin hampir untuk menarik diri dari beraksi di Liga Super musim depan namun sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi dari pihak kelab mahupun Malaysian Football League (MFL).

Baru-baru ini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan bahawa Sri Pahang menarik diri daripada Liga Super bukanlah kerana masalah kewangan namun ianya lebih kepada masalah dalaman.