Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meletakkan harapan besar terhadap pemain negara, Richard Chin untuk memberikan impak bersama skuad kebangsaan menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa pada November ini.
Richard Chin merupakan antara pemain yang mendapat perhatian menjelang pertemuan menentang China dan Yemen selepas dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya bagi tugasan antarabangsa kali ini.
Bagaimanapun, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa barisan kejurulatihan masih memerlukan masa untuk menilai tahap kesediaan pemain berusia 24 tahun itu berdasarkan prestasinya sepanjang sesi latihan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Richard Chin berpeluang diberikan peranan di bahagian serangan dalam perancangan pasukan bagi menghadapi dua aksi tersebut.
“Bagi Richard Chin, kami barisan jurulatih masih lagi menilai dari segi prestasi dalam latihan dan kami akan beri peluang kepada Richard Chin akan beraksi di bahagian serangan.”
Dalam masa sama, Tan Cheng Hoe mahu Richard Chin segera menyesuaikan diri dengan corak permainan serta pendekatan taktikal yang diterapkan dalam skuad Harimau Malaya.
Ini kerana pemain pertahanan yang kini beraksi bersama Ross County itu baru pertama kali menyertai kem latihan pasukan kebangsaan dan memerlukan masa untuk memahami kehendak barisan kejurulatihan.
“Akan tetapi, kita memang harapkan Richard Chin dapat menyesuaikan dengan suasana taktikal pasukan kerana pertama kali bersama dengan pasukan dan kita harap Richard Chin mampu secepat mungkin menyesuaikan pasukan dan kita tahu kemampuan Richard Chin juga.”
Justeru, barisan kejurulatihan mengambil masa sekitar dua hingga tiga hari untuk menilai persembahan Richard Chin sebelum membuat keputusan mengenai peranannya bersama pasukan.
“Itulah kita mengambil 2-3 hari untuk nilai Richard Chin (dari segi) persembahan dalam latihan.”
Untuk rekod, Harimau Malaya dijadualkan bertemu China pada 14 November sebelum menentang Yemen pada 17 November 2026 di Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China.
Kedua-dua perlawanan itu menjadi peluang buat Richard Chin membuktikan kemampuannya sekiranya diberikan kepercayaan untuk membuat penampilan bersama skuad senior Harimau Malaya.

