Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menuntut anak buahnya mempamerkan aksi terbaik bila berdepan China.
Cheng Hoe mengakui dari segi ranking, pasukan yang diberi jolokan Dragon Team itu berada di kedudukan lebih baik berbanding skuad negara.
Meskipun begitu, beliau percaya anak buahnya mampu melakar kejutan ke atas China bila kedua-dua pasukan bertemu pada 14 November ini.
“Ya, kita tahu pasukan China berada dalam satu ranking yang lebih baik daripada pasukan kebangsaan kita. Dan kita sebagai jurulatih, kami pun ingin dapatkan keputusan yang positif menentang China nanti.
“Dan memang mana-mana jurulatih pun, mana-mana perlawanan pun, kita inginkan kemenangan juga. Dan kita ingin juga cipta satu kejutan menentang China.
“Tetapi kita tahu kekuatan China dan kekuatan pasukan kita juga agak berbeza. Dan kita mengharapkan pemain-pemain yang kali ini memberi satu persembahan yang terbaik untuk perlawanan tentang pasukan China nanti,” katanya.
Cheng Hoe berharap Harimau Malaya dapat mengulangi kejutan yang dilakar pada 2023. Tahun itu menyaksikan skuad negara mengikat China 1-1.
Kapten Selangor FC, Faisal Halim mengejutkan penyokong tuan rumah dengan meledakkan gol pendahuluan buat Malaysia. Lin Liangming menyelamatkan maruah China dengan gol penyamaan.
Meskipun kini menduduki ranking ke-133 dunia, prestasi semasa Harimau Malaya dilaporkan menggusarkan media China.
Anak buah Shao Jiayi juga menghampiri aksi ini dengan rekod tiga kekalahan dalam tiga aksi terakhir mereka pada September dan Oktober lalu.
