Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama TMJ mengucapkan tahniah kepada pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) di atas kemaraan pasukan itu ke final Piala AFC.
Ucapan tahniah itu ditujukan kepada pengendali KL City, Bojan Hodak, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard dan kepada seluruh pemain KL City.
Dalam masa yang sama, TMJ juga telah berkongsi perbualan dengan Bojan Hodak melalui aplikasi Whatsapp. TMJ mengandaikan bahawa KL City bakal menang dalam aksi final Piala AFC menentang kelab Al-Seeb dari Oman.
Namun Bojan akui pasukan dari Oman itu merupakan pasukan yang baik dan ada enam pemain dari pasukan itu merupakan pemain skuad kebangsaan Oman yang beraksi menentang Jepun dalam aksi Kelayakan Piala Dunia.
Dalam satu tangkap layar yang lain, TMJ berharap KL City akan menjulang Piala AFC dan akan menjadi kelab kedua dari Asia Tenggara yang merangkul piala itu selepas JDT. Selain itu TMJ turut berharap Bojan Hodak kekal membimbing KL City pada musim akan datang.
Dengan taraf liga semakin meningkat, TMJ juga mahukan kondisi padang yang digunakan kelab Malaysia akan dinaiktaraf dengan turut memberikan anggaran harga menaiktaraf padang iaitu sebanyak RM800,000 sahaja.